TINDAKAN PIKET SECARA AMAN



TINDAKAN PIKET SECARA AMAN : 
Tindakan Semua Pengerusi Cawangan-cawangan MTSU



Saudara,

TINDAKAN PIKET SECARA AMAN

Adalah saya dengan segala hormatnya ingin merujuk kepada perkara diatas.

Sukacita dimaklumkan atas pandangan Wakil MTSU di Pasir Mas, tindakan piket peringkat Kebangsaan diubah ke peringkat Cawangan-cawangan.  Tindakan ini akan memudahkan ahli-ahli berkumpul setempat tanpa melibatkan kewangan MTSU serta dapat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penarafan semula Skim Perkhidmatan Juruteknik, Pelukis Pelan dan Skim Penolong Pegawai. 

Sepatutnya skim juruteknik dan pelukis pelan telah diberikan status J27 mulai 1 Januari 2012 dibawah ‘Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)’ dan Skim Penolong Pegawai di sama tarafkan dengan Penolong Jurutera tetapi ‘SBPA’ telah dibatalkan dengan alasan satu skim yang lebih baik akan diumumkan pada awal 2013.  Didalam mesyuarat diantara MTSU dan Jabatan Perkhidmatan Awam pada 12 Oktober 2012 dan 21 Januari 2013, isu skim juruteknik ditawarkan J27 atau J29 masih dibincangkan. 

Ini bermakna skim juruteknik dan lain-lain masih belum diputuskan dan ini tidak adil langsung kerana hari-hari ahli MTSU bersara dan mereka bersara atas skim yang lama.  Manakala dalam opsyen SBPA peningkatan skim bermula pada 1 Januari 2012.  Maka keputusan segera perlu diumumkan oleh Kerajaan supaya para penjawat awam seperti  Juruteknik akan tahu kedudukan sebenar mereka iaitu ditempatkan pada Gred J27, J29 atau pun kekal di Gred J17 dan mulai bila?  Adakah ianya dibelakangkan ke 1 Januari 2013 atau pada satu tarikh yang lain?  Inilah soalan-soalan yang bermain di otak para penjawat teknikal dan satu jawapan yang tepat perlu disampaikan oleh pihak berkuasa.


Memandangkan isu kian rumit dan merisaukan maka mesyuarat Majlis Jawatankuasa Agung MTSU dan mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang telah bermesyuarat tempoh hari telah mengarahkan saya untuk memohon ahli-ahli MTSU berbangkit dengan satu semangat baru dalam mendesak pihak Kerajaan untuk mengumumkan skim juruteknik dan lain-lain skim dengan segera.  Maka difikirkan bahawa tindakan berpiket secara aman adalah tindakan yang paling sesuai.

Kini Cawangan-cawangan PERLU merancang arahan Majlis Jawatan-kuasa Agung dengan mengenal pasti tempat piket serta  menghebahkan perkara ini kepada ahli-ahli di Cawangan masing-masing supaya hadir secara ramai-ramai dalam menjayakan piket ini.  Piket ini juga akan dijalankan secara serentak oleh semua Cawangan.  Butiran adalah seperti berikut:-

            Tarikh    :       28 Februari 2013  (Khamis)

            Masa     :      5.00 petang

            Tempat   :    Tempat yang strategik di Cawangan masing-masing.
                                   *Sila maklumkan tempat berpiket kepada Setiausaha Agung
                                     dengan segera.

Saudara juga diingatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis mengenai tindakan piket secara aman ini.  Manakala masa untuk berpiket adalah pada pukul 5.00 petang (waktu selepas pejabat) kerana piket PERLU dibuat luar waktu pejabat.

Untuk makluman saudara juga tempat berpiket yang paling penting adalah di Putrajaya dan Kuala Lumpur.  Disebabkan perkara ini, Sdr. M.P. Govindasamy selaku Pengerusi Cawangan Putrajaya PERLU memastikan ramai ahli berhimpun di Putrajaya.  Mana-mana Cawangan yang ingin memberi sokongan digalakkan untuk turun ke Putrajaya dalam menyertai piket di Putrajaya.

Kerjasama saudara adalah dipohon dalam menjayakan tindakan piket ini dan selagi TIDAK ada komitmen daripada pihak Kerajaan tentang pengumuman tarikh penarafan semula Skim Juruteknik dan lain-lain skim, tindakan piket TIDAK boleh di tarik balik.


Dalam pada masa yang sama, Cawangan-Cawangan adalah digalakkan untuk mengadakan majlis sembahyang hajat supaya dapat melembutkan hati pihak berkuasa dan umumkan dengan segera perlaksanaan skim-skim teknikal yang telah tidak dinaikkan sejak berpuluh tahun.

Harapan MTSU secara ikhlas adalah supaya Kerajaan dapat memahami keperitan kakitangan teknikal dan membuat satu pengumuman dengan SEGERA.

Sekian, terima kasih.


Saya yang menjalankan tugas,



(SAMUEL DEVADASAN,KMN,AMN,ANS,PMC,PJK)
Setiausaha Agung

s.k.   -  Sdr. Shuhaimi Bin Othman,BCN,AMP,AMN,PPT,PMC,BKT,PJK
           Presiden MTSU
  
        -  Semua Ahli Majlis Jawatankuasa Agung MTSU
 
        -  Semua Setiausaha Kehormat
           Cawangan-Cawangan MTSU

Comments

Popular posts from this blog

Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Ke-10 MTSU Caw. Melaka

SENARAI PEGAWAI-PEGAWAI CAWANGAN MTSU

Manfaat Ahli MTSU